(Artikel ini turut disiarkan di MajalahNiaga.com)
Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan saya tentang perbezaan di antara insurans konvensional dengan takaful.
Tatkala saya menerangkan tentang perbezaan kontrak insurans konvensional
yang menggunakan kontrak jual beli, dan kontrak takaful yang
menggunakan kontrak derma, beliau bertanya beberapa soalan untuk
penjelasan.
Dari bahasa badannya, nampak beliau begitu
bersungguh-sungguh inginkan penjelasan tentang perkara tersebut.
Ternyata soalan-soalan yang beliau kemukakan menunjukkan kematangannya
berfikir, sesuai dengan statusnya sebagai seorang bisnesman.
“Ya Encik Afyan, saya pun pernah membaca tentang perkara ini”, kata
beliau merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum
insurans konvensional.
Nampaknya sebelum menemui saya, beliau
sudah pun membuat sedikit kajian dan pembacaan. Ia memudahkan kerja saya
untuk menerangkan perkara tersebut. Tambahan lagi, kafeteria tempat
kami bertemu tidak ramai pelanggan mengunjunginya memudahkan saya
membuat penerangan dengan jelas.
“Ada sebarang persoalan yang
Tuan ingin tanyakan lagi?”, saya bertanya kepada beliau selepas
penjelasan terakhir tentang perkara ini.
“Setakat ini tiada”, kata beliau sambil menyandarkan badan ke kerusi.
“Jika begitu, kita boleh berpindah ke topik seterusnya iaitu keperluan
kewangan Tuan sebelum saya cadangkan mana-mana produk takaful yang
sesuai”, kata saya.
“Sebenarnya saya sudah memiliki beberapa polisi sebelum ini”, kata beliau.
“Alhamdulillah, suka saya mendengarnya kerana Tuan sudah mengambil
keputusan yang bijak untuk masa hadapan Tuan”, balas saya, menyanjungi
kesedarannya untuk memiliki plan perlindungan kewangan.
“Tetapi…”, beliau membiarkan ayatnya tergantung.
Ingin Berhijrah, Tetapi…
Saya diam seketika memberi peluang beliau menghabiskan kata-kata.
Saya cuba meneka. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan polisi sedia
ada, atau beliau hanya ingin berjumpa saya sekadar ingin mengetahui
perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional, kerana beliau
mengetahui saya selepas membaca blog saya tentang isu ini.
“Sebenarnya, saya sudah melanggan dengan insurans konvensional”, kata beliau agak perlahan.
“Oh, begitu rupanya”, kata saya di dalam hati. Agak jauh dari tekaan saya sebelum ini.
“Saya sudah mengambil polisi insurans konvensioanal kira-kira sepuluh
tahun lalu ketika baru berkahwin. Ketika itu saya tidak tahu insurans
konvensional ini haram hukumnya. Dan saya pun baru tahu dalam setahun
dua ini bahawa insurans konvensional ini haram”, jelas beliau panjang
lebar.
“Alhamdulillah, selain daripada mempunyai kesedaran
untuk memiliki perlindungan kewangan, Tuan juga mempunyai kesedaran
tentang aspek halal haram. Tahniah saya ucapkan”, tambah saya lagi,
menyanjung tinggi kesedaran beliau. Kali kedua saya ucapkan tahniah
kepada beliau.
“Tetapi, kalau saya batalkan polisi insurans konvensional saya, saya akan rugi”, kata beliau lagi.
Saya diam sebentar.
Saya dapat meneka apa yang bermain di benak fikirannya; beliau
bercadang untuk berpindah kepada takaful tapi beliau memikirkan kerugian
yang beliau akan alami sekiranya membatalkan polisi insurans
konvensional sedia ada.
“Tuan, menjadi tanggungjawab saya untuk
mengajak Tuan berhijrah daripada insurans konvensional kepada takaful
yang bebas daripada riba, sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi
tentang bahaya riba. Jika Tuan sudah mengambil pelan perlindungan
takaful dari syarikat lain, saya tidak akan menasihat Tuan untuk
batalkan polisi-polisi Tuan”, jelas saya panjang lebar.
Kemudian, saya menyambung lagi, “Tetapi memandangkan Tuan mengambil
pelan insurans konvensional, maka adalah menjadi kewajipan dan
tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan keluar daripada sistem kewangan
riba dan berhijrah kepada sistem takaful”.
Untung Rugi Berpindah-pindah Polisi
Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil berkata “Ya Encik Afyan, saya
tahu bahawa insurans konvensional adalah riba dan riba itu haram
hukumnya, tetapi saya akan rugi banyak jika saya membatalkan polisi yang
sudah saya langgan lebih 10 tahun ini”.
Saya tersenyum, apa
yang diperkatakannya benar. Membatalkan polisi lama yang sudah diambil
bertahun-tahun semata-mata untuk mengambil polisi baru bukanlah satu
tindakan bijak.
Malah, adalah satu perbuatan yang tidak
beretika mana-mana ejen insurans atau takaful yang menasihati pelanggan
untuk membatalkan polisi sedia ada dengan tujuan supaya pelanggan
mengambil polisi baru dengannya.
Sebagai perunding kewangan dan
takaful, menjadi prinsip saya untuk menasihati pelanggan untuk kekalkan
polisi sedia ada kerana membatalkan polisi sedia ada yang lama, dan
melanggan polisi baru akan melibatkan kos dan kerugian tertentu yang
terpaksa ditanggung oleh pelanggan atas dua faktor, iaitu;
Umur; usia pelanggan semakin hari semakin meningkat, justeru kos untuk
melanggan polisi baru hari ini secara logiknya akan lebih tinggi
berbanding polisi yang sama tahun lalu atas faktor umur, dan
Kesihatan; kesihatan pelanggan hari ini tentu tidak sama ketika beliau
melanggan polisi lama dahulu. Situasi akan lebih teruk untuk melanggan
polisi baru jika beliau pernah membuat tuntutan.
Atas kedua-dua
faktor ini, berpindah daripada polisi lama kepada polisi baru lebih
banyak merugikan pelanggan. Tetapi yang paling untung dalam situasi ini
adalah ejen.
Itu sebabnya, adalah sesuatu yang tidak beretika
bagi mana-mana ejen atau wakil takaful menasihati pelanggan untuk
membatalkan polisi sedia ada, kerana ia hanya menguntungkan ejen, bukan
pelanggan.
Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir ejen yang
tidak beretika yang mengamalkan cara ini untuk memperbanyakkan bisnes
mereka. Tetapi selalunya mereka tidak kekal lama dalam industri.
Namun yang menyedihkan, perbuatan mereka sedikit sebanyak merosakkan
industri. Bak kata Karam Singh Waliya; Kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga.
Atas dasar prinsip, ejen-ejen yang beretika tidak
sekali-kali menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada
hanya semata untuk bisnes. Pengalaman saya, selalunya saya akan
mencadangkan untuk menambah jumlah perlindungan yang baru bersesuaian
dengan keperluan kewangan semasa.
Contohnya polisi lama yang
diambilnya dahulu adalah ketika bujang, mungkin bersesuaian ketika
polisi tersebut dilanggan. Namun sekarang prospek sudah berkahwin dan
beranak pinak sudah tentu keperluan perlindungan kewangannya bertambah
berbanding dahulu.
Namun, dalam situasi ini, pelanggan yang ditemui sudah pun lama menjadi pelanggan insurans konvensional.
Jadi, juga atas dasar prinsip yang lebih utama iaitu prinsip Islam yang
saya pegang, saya akan menasihati pelanggan untuk berhijrah daripada
institusi riba kepada alternatif yang bebas riba dan patuh syariah.
Ya, atas dasar prinsip juga kerana insurans konvensional adalah
instrumen riba, justeru itu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk
menerangkan bahawa insurans yang dilanggan selama ini adalah riba dan
alternatifnya adalah takaful.
Kemudian, keputusan terletak di tangan pelanggan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya, di dunia dan akhirat.
“Berapa caruman yang Tuan ambil dengan insurans sebelum ini?”, tanya saya.
“Saya mengambil tiga polisi untuk saya dan anak sulung saya, jumlahnya
dalam RM500 sebulan. Saya ambil pada tahun 1999, ketika awal perkahwinan
dan setahun kemudian selepas mendapat anak sulung”, jawab beliau sambil
menghulurkan satu fail yang terisi polisi-polisi insurannya.
Saya mencongak-congak jumlah caruman yang sudah beliau bayar selama ini.
Sebulan RM500 maka setahun RM6,000. Congakan awal saya, polisi-polisi
tersebut sudah lebih 10 tahun maka sekurang-kurangnya sudah RM60,000
yang sudah dibayar selama ini.
Ia satu jumlah yang besar. Jadi
tidak hairanlah beliau agak ralat untuk membatalkan polisi sedia ada dan
berhijrah kepada takaful.
Sambil membelek polisi-polisi
insurannya, beliau berkata kepada saya “Encik Afyan, saya sudah pun
membuat kiraan sebelum saya bertemu dengan Encik. Jumlah caruman yang
saya bayar untuk kesemua polisi adalah RM524.40 sebulan dan jumlah
keseluruhan yang saya bayar berjumlah RM71,463.96. Dan saya sudah pun
hubungi syarikat berkenaan, nilai tunai insurans saya adalah
RM34,356.14. Rugi kalau saya batalkan sekarang”.
Perkataan
“rugi” diulang lagi, kali ini dengan lebih ditekankan. Sambil itu beliau
menunjukkan satu kertas yang bertulisan tangan tertulis jumlah-jumlah
yang disebutkannya tadi.
Saya tersenyum, sambil mempelawa
beliau minum minuman yang kami pesan di awal pertemuan tadi, “Minum dulu
Tuan, nanti sejuk pula”.
Beliau turut tersenyum, sambil menyedut air minumannya.
Sambil minum, sempat beliau berkata “Jika saya batalkan, saya rugi 50%
daripada jumlah caruman yang saya sudah bayar, kira-kira RM40,000.
Memang rugi.”
Nampak semacam beliau cuba menguji saya. Suasana hening seketika.
Sanggup Untuk Teruskan?
Saya turut minum sambil saya bertanya kepadanya, “Tuan, bagaimana kalau
saya katakan yang air yang kita minum ini sebenarnya tersalah pesan?”.
“Maksud En Afyan?”, tanya beliau, keliru tiba-tiba saya berubah topik.
“Maksud saya, andai kata tiba-tiba datang pelayan restoran ini kepada
kita, dan memaklumkan air yang kita minum ini sebenarnya dipesan ini
adalah air minuman beralkohol, tapi kita tidak perasan dalam menunya
tadi”, kata saya.
“Isshhhh…. saya akan muntahkan balik apa yang saya minum dan minta air baru”, balasnya sambil ketawa kecil.
“Tuan tidak berasa rugi?”, tanya saya, menguji.
“Tidaklah. Apalah sangat rugi sedikit berbanding minuman haram masuk ke
perut kita ini”, balasnya tegas, sambill mencebikkan bibir tanda jijik
dengan air syaitan itu.
“Eh, mahal ni Tuan”, kata saya merujuk
kepada harga air minuman kafeteria hotel ekslusif yang kami bertemu
sekarang. Memang harganya sedikit mahal berbanding restoran-restoran
biasa.
“Tidak kisahlah. Saya boleh bayar apa yang sudah dipesan
dan kita pesan air minuman baru. Jangan risau Encik Afyan, hari ini
saya belanja Encik Afyan”, balas beliau.
“Begitulah juga dengan insurans konvensional yang Tuan langgan selama ini”, balas saya, agak tajam.
Beliau terdiam. Nampak agak tersentak berdasarkan kerutan keningnya yang tajam memerhatikan saya.
“Apalah sangat rugi sedikit berbanding dosa riba dan hukuman riba di
akhirat kelak”, saya menyambung lagi, kali ini menggunakan ayat-ayat
yang beliau gunakan tadi dengan sedikit olahan.
Beliau masih terdiam. Nampak ingin berkata sesuatu tapi tidak terkeluar.
“Malah Tuan, balasan dosa riba lebih teruk berbanding dosa minum arak”,
tegas saya merujuk kepada penerangan awal saya berkenaan dosa-dosa riba
yang Allah mengisytihar perang terhadap pelaku riba.
“Begini
Tuan, saya tidak nafikan bahawa dalam situasi Tuan sudah tentu Tuan
memikirkan kerugian yang bakal Tuan tanggung sekiranya Tuan membatalkan
polisi sedia ada dan melanggan polisi baru. Namun, memandangkan polisi
yang Tuan langgan selama ini adalah polisi riba, dan Tuan sudah pun
sedia maklum tentang hukum-hakam riba, maka sudah tibalah masanya untuk
Tuan berhijrah. Insya-Allah, apabila Tuan berhijrah kelak, nescaya Allah
akan bersama-sama Tuan dengan keputusan yang Tuan lakukan”.
Beliau masih diam. Berfikir barangkali. Keningnya masih berkerut seperti tadi.
“Sebagaimana air yang kita tersalah pesan tadi, kita tidak terasa rugi
sekalipun membayar ekstra dua harga untuk satu gelas yang kita patut
minum dan satu gelas yang kita tersalah pesan, dan hanya satu sahaja
yang kita akan minum sebenarnya”, sambung saya lagi, kali ini
menggunakan perkataan ‘kita’ sebagai kata ganti diri pertama.
“Tuan, saya ada satu cara untuk mengurangkan kerugian yang Tuan alami.
Caranya adalah dengan memindahkan nilai tunai polisi lama Tuan ke polisi
baru yang akan Tuan langgan nanti. Dengan cara ini, sekalipun polisi
baru Tuan baru sahaja sebulan, tetapi nilai tunainya sama dengan polisi
lama Tuan yang sudah lebih 10 tahun”, saya memberikan cadangan.
Nampak sedikit sinar di wajahnya, lantas berkata “Oh, begitukah?”
Mari Berhijrah! Hapuskan Riba
Beliau menyambung lagi “Sebenarnya saya sudah lama memikirkan
alternatif terbaik untuk menggantikan polisi insurans saya ini selepas
mengetahui tentang hukum haramnya kira-kira dua tahun lalu. Namun,
selama ini saya buntu memikirkan kerugian yang bakal saya alami jika
membatalkan insurans tersebut”.
“Alhamdulillah, hari ini saya sudah nampak jalannya”.
Beliau nampak begitu ceria sekali.
Seterusnya saya mencadangkan agar beliau tidak terus membatalkan polisi
insurans konvensionalnya selagi mana polisi takafulnya berkuatkuasa
sepenuhnya. Ini kerana setiap polisi baru akan mempunyai tempoh menunggu
sebulan sehingga tiga bulan bagi memastikan perlindungan-perlindungan
untuk kematian, lumpuh, serta sakit kritikal berkuatkuasa sepenuhnya.
Tempoh menunggu ini ada kaitan dengan tahap kesihatan peserta.
Jika polisi lamanya terus sahaja dibatalkan sebelum polisi baru
berkuatkuasa sepenuhnya, risiko kepada pelanggan seandainya ditimpa
musibah pada waktu itu. Jika ia berlaku, maka tiada perlindungan
kewangan diberi dan saya adalah orang yang paling terkilan seandainya ia
berlaku kepada pelanggan saya.
Justeru itu, saya mengesyorkan
agar polisi lama dibatalkan hanya selepas polisi takaful yang baru
dilanggan melepasi tempoh menunggu yang selalunya mengambil masa 90 hari
atau 3 bulan. Sebaiknya selepas setahun untuk memastikan keadaan
kesihatan peserta benar-benar sihat.
“Alhamdulillah, tahniah
kerana Tuan berani mengambil keputusan untuk BERHIJRAH!”, kata saya.
Kali ketiga saya ucapkan tahniah, dan yang paling bermakna kerana dalam
masa sama saya bersyukur kerana menyelamatkan seorang lagi muslim
daripada bahaya dan bahana riba.
Oh, bukan seorang, termasuk juga anaknya
Maklumat lanjut mengenai takaful : 013-652 9952
No comments:
Post a Comment