Wednesday, 26 December 2012

konsep TAKAFUL 1400 tahun dahulu


     Sistem takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu dikalangan pesertanya. Ia bertujuan menggalakkan sifat tolong menolong dan perpaduan dikalangan para peserta selari dengan konsep ta'awun (saling bekerjasama). Konsep ini sebenarnya telah pun diamalkan sejak lebih 1400 tahun dahulu.


     Antara golongan masyarakat zaman silam yang pertama mempraktikkan konsep perlindungan seumpama ini ialah pedagang-pedagang Arab yang telah melaksanakannya sebelum kedatangan Islam. Mereka berdagang dengan merentasi padang pasir, membawa barang dagangan menggunakan unta, mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri secara kumpulan atau kafilah. Dalam mengharungi urusniaga ini, mereka sentiasa terdedah kepada kemungkinan berlakunya pelbagai bahaya, musibah dan bencana seperti rompakan, ribut padang pasir, pembunuhan dan lain-lain tragedi sehingga boleh menyebabkan bukan sahaja kerugian dan kehilangan barang dagangan mereka malah juga boleh mendatangkan ancaman kepada nyawa pedagang-pedagang itu sendiri.


     Bagi mengatasi atau meringankan beban ini, pedagang-pedagang Arab pada ketika itu telah saling berpakat antara mereka mengagih-agihkan barang dagangan kepada beberapa kafilah dan beberapa ekor unta. Oleh itu, jika ditakdirkan berlaku sesuatu musibah keatas mana-mana kafilah atau unta yang mereka gunakan itu, kerugian atau kehilangan yang mungkin dialami hanya sekadar terhad kepada kafilah atau unta yang malang itu sahaja.


     Oleh itu, terbukti bahawa konsep takaful sememangnya telah diamalkan sejak lebih 1400 tahun dahulu. Sittem saling bantu membantu yang menjadi teras kepada prinsip takaful pada dasarnya mengikut ulama' adalah tidak bercanggah dengan syariah.

No comments:

Post a Comment