Islam bukan sekadar satu agama yang berbentuk ritual tetapi merupakan satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Walaupun begitu, terdapat golongan dalam masyarakat yang memperlekehkan aspek kesempurnaan Islam ini dengan melabelkan Islam sebagai agama yang sempit, jumud dan tidak seiring dengan arus pemikiran baru yang terdapat pada hari ini. Kemunculan fahaman-fahaman baru yang dilihat seolah-olah menolak elemen agama merupakan satu ancaman baru kepada kepada pemikiran masyarakat Malaysia.
Dalam pelbagai isu yang ditimbulkan oleh pelopor dan juga pejuang fahaman berbentuk sekularis, liberal dan pluralis ini, antara yang menjadi topik perbincangan hebat ialah mengenai isu Hak Asasi Manusia. Hak Asasi Manusia yang diperjuangkan oleh dunia Barat dan juga kumpulan fahaman ini adalah berlandaskan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat ataupun Universal Declaration of Human Rights (UDHR), yang diisytiharkan pada 10 Disember 1948. Deklarasi ini membahagikan hak asasi manusia kepada 4 aspek utama iaitu kebebasan kepercayaan, kebebasan bersuara, kebebasan kemahuan dan kebebasan daripada ketakutan. Kebebasan ini juga diterjemahkan dalam bentuk hak asasi yang meliputi semua manusia tanpa mengambil kira apa jua latarbelakang individu tersebut.
Dari perspektif Islam, hak asasi manusia adalah tidak mutlak dan bermatlamatkan melindungi maruah dan karamah manusia yang membezakan antara manusia dan haiwan. Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Islam sebagai agama yang bersumberkan wahyu dari Allah SWT, adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak-hak asasi manusia. Sebagai contoh, perubahan dari zaman jahiliyyah di mana kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dizalimi dan dibunuh kerana jantina mereka ke zaman Islam dimana kedudukan wanita dimartabatkan dan dipelihara merupakan satu titik tolak kepada elemen penting terhadap hak kebebasan dan kesamarataan bagi manusia. Ini ditegaskan di dalam surah Al-Isra’ ayat 70:
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan (status) anak-anak Adam.” Dan di dalam surah Al-Hujarat, Ayat 13: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.”
Islam meletakkan penghormatan yang mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang itu. Sebaliknya, apa yang penting dalam Islam ialah komitmen seseorang individu itu kepada usaha memperkuatkan aqidahnya dan juga peningkatan taqwanya kepada keesaan Allah SWT. Jika apa yang diperjuangkan oleh mana-mana individu itu dilihat sebagai usaha menjatuhkan kemuliaannya sebagai manusia dan juga lebih menjauhkan dirinya dari Allah SWT, maka, tidak rasional usaha atau pandangan itu dilihat sebagai satu bentuk tindakan menegakkan hak asasinya. Penghormatan atau ruang juga tidak perlu diberikan kepada golongan yang memperjuangkan satu bentuk hak asasi yang membelakangi nilai-nilai moral sejagat dan juga prinsip-prinsip asas etika.
Berbeza dengan perspektif Islam, pemikir-pemikir Barat lebih cenderong mengaitkan hak asasi manusia dengan kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata. Bagi golongan ini dan para pendokongnya, hak asasi manusia dan kebebasan individu adalah bersifat mutlak dan kepentingan individu mengatasi kepentingan manusia sejagat. Dari kefahaman inilah lahir pelbagai corak kehidupan manusia moden yang kadangkala dilihat seolah-olah membawa ketamadunan manusia itu beberapa langkah ke belakang dan mengulangi kesilapan golongan manusia lampau yang pernah wujud dalam zaman sebelum kedatangan Islam dan juga jauh dari cara hidup yang didakwah oleh para Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah SWT untuk golongan manusia.
Penting untuk difahami bahawa Islam memartabatkan hak asasi manusia sebagai satu bentuk anugerah Allah SWT kepada khalifahNya di muka bumi ini. Ia bersifat syumul dan ajarannya selari dengan fitrah kejadian insan disamping merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Oleh itu, satu prinsip penting dalam pemahaman ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia ada batasannya. Hak tersebut haruslah berteraskan kepada prinsip keadilan serta penegasan kepada pencapaian maqasid syari’ah iaitu penyuburan 5 kepentingan asas merangkumi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Walaupun begitu, terdapat pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia, bersuara atas alasan mereka didiskriminasi dan dipinggirkan oleh masyarakat. Malangnya, pihak yang melaungkan kebebasan dan prinsip hak asasi ini tidak melihat kepada intipati dan legitimasi hak yang cuba diperjuangkan. Hanya kerana mereka merasakan bahawa sebagai manusia, laungan dan pengiktirafan harus diberikan kepada mereka dengan sewajarnya; tanpa mengambil kira sama ada hak yang dituntut itu boleh membawa kerosakan kepada masyarakat amnya. Penegasan ideologi individualisme dan humanisme yang menjadi tulang belakang hak asasi manusia tajaan Barat menjadikan pendokong fahaman-fahaman ini sentiasa merasakan mereka adalah pembawa perubahan sambil menafikan bahawa perubahan yang sah ialah perubahan yang didasari oleh sistem moral dan nilai sejagat.
Bagi mereka, masyarakat harus lebih bersifat terbuka dan menerima kepelbagaian yang ada walaupun ianya bertentangan dengan norma masyarakat. Yang amat membingungkan ialah dalam keasyikan mereka ‘memperjuangkan’ hak untuk ‘bersuara’, seringkali mereka melenting apabila ada pihak lain yang mempersoalkan perjuangan mereka sedangkan pihak ini juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat. Pada hakikatnya, tanpa mereka sedari, sikap yang tidak konsisten ini telah menzahirkan kelemahan semulajadi di dalam perjuangan mereka.
Sebagai kesimpulan, visi dan misi sesebuah sistem nilailah yang sebenarnya membentuk dan memberi makna kepada hak asasi manusia. Berbekalkan sistem nilai yang hakiki, manusia pasti akan berupaya untuk mengenal ciri-ciri hak asasi yang dapat membawa perubahan positif lagi progresif demi kelangsungan peradaban manusa di muka bumi yang fana ini.
No comments:
Post a Comment